Tiada apa yang boleh anda cari di sini, kecuali segala kisah yang berkaitan dengan Sahibus Samaah As Sheikh Datuk Seri Sivaji Anu War Berahi Al Juburi yang aku kutip dari sumber maya yang bersepah-sepah untuk dikumpulkan dalam satu blog untuk tujuan dijadikan bahan bacaan/rujukan kepada anak dan cucu ku kelak.

Blog Archive

Monday, June 29, 2009

A KADIR JASIN 1998

Pakatan Anwar-media asing burukkan Malaysia
Oleh A Kadir Jasin

KALAU anda seorang rakyat British, cintakan Ratu Elizabeth dan membaca akhbar The Independent pada 22 September, anda tentu bimbang keselamatan Baginda.

Betapa tidaknya. Tajuk berita akhbar itu menjerit 'Queen caught in Malaysia chaos' (Queen terperangkap dalam huru-hara Malaysia).

Tetapi kalau anda seorang rakyat Malaysia dan tinggal di Kuala Lumpur, kemungkinannya anda tidak membaca akhbar British itu. Sekiranya anda terbaca, anda tentu hairan huru-hara apa yang dimaksudkannya.

Kata akhbar itu lagi, penangkapan Datuk Seri Anwar Ibrahim Ahad lalu menyebabkan tunjuk perasaan besar berlaku di Kuala Lumpur.

Yang kita tahu, tunjuk perasaan dan perarakan haram Ahad lalu berlaku atas hasutan Anwar dan rakan-rakannya. Hanya selepas penunjuk perasaan merusuh barulah Anwar ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Kalau anda rakyat British, membaca pula akhbar The Times, anda pasti membatalkan sebarang rancangan melancong Malaysia.

Apa tidaknya kerana menurut akhbar itu 'Malaysia in turmoil as Government cracks down on dissenters' (Malaysia kucar-kacir ekoran tindakan Kerajaan terhadap penentang).

Dan kalau anda seorang rakyat Amerika pula dan membaca akhbar The New York Times, anda tentu berasa lega kerana rupa-rupa Presiden Clinton tidaklah seburuk yang anda fikirkan.

Menurut akhbar yang dikatakan sangat berpengaruh itu, seorang 'pemimpin pembangkang terkemuka di Malaysia dipenjarakan akibat kes seks'. Melaporkan dari Kuala Lumpur, The New York Times berkata 'Top opposition leader in Malaysia is jailed in sex case'.

Presiden anda yang mengaku melakukan hubungan seks luar biasa dengan seorang pelatih Rumah Putih bernama Monica Lewinsky dan cuba berbohong mengenainya belum dipenjarakan.

Malah beliau masih memegang jawatan dan besar kemungkinan tidak akan dipenjarakan. Paling teruk beliau dilucutkan jawatan.

Kalau anda bukan pakar mengenai politik Malaysia, anda tentu percaya bahawa Anwar adalah 'top opposition leader' (pemimpin pembangkang terkemuka).

Tetapi bagi rakyat Malaysia, sehingga tiga minggu lalu Anwar berupa orang kerajaan yang paling hampir dengan puncak kuasa. Dan dia juga pemimpin kerajaan Malaysia yang paling ghairah dengan kuasa dan paling bercita-cita menjadi Perdana Menteri.

Boleh jadi juga kepada The New York Times, sesiapa juga yang menentang kerajaan, khususnya Datuk Seri Dr Tun Dr. Mahathir Mohamad, adalah 'pemimpin pembangkang terkemuka'.

Radio dan televisyen asing pun begitu juga. Kalau anda tidak kenal siapa Anwar sebenarnya dan anda menonton CNBC, anda pasti beranggapan beliau tidak terbabit langsung dengan perlaksanaan projek besar di negara ini kerana beliau menentangnya.

Tetapi hakikatnya lain sekali. Anwar bukan saja mengawal projek-projek ini sebagai Menteri Kewangan, tetapi mengambil bahagian cergas menentukan siapa dapat dan tidak dapat kontraknya. Beliau juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet mengenai pembangunan KLIA.

Walaupun beliau memberitahu CNBC sebelum ditahan yang beliau menentang projek-projek besar, tetapi rakan dan syarikat yang rapat dengan beliau adalah antara yang mendapat kontrak projek ini.

Misalnya beliau mementang projek Linear City di Kuala Lumpur, tetapi pengerusi syarikat yang memiliki projek itu ialah Datuk Kamaruddin Jaafar, pengerusi Institut Kajian Dasar (IKD) dan orang kanan Anwar.

Anwar kritik Putrajaya dan Cyberjaya, tetapi antara syarikat yang mendapat kontrak membina projek-projek itu adalah syarikat yang sangat rapat dengannya seperti MRCB dan Hong Leong Properties.

Malangnya, inilah tanggapan yang anda akan perolehi jikalau anda membaca akhbar atau menonton televisyen Barat.

Anda pasti membuat kesimpulan bahawa Malaysia kucar-kacir, Dr Tun Dr. Mahathir diktator, Anwar Ibrahim sebersih kain putih tetapi mungkin disuntik virus HIV, dasar ekonomi Malaysia bolos, polisnya kejam dan nyawa Ratu Elizabeth terancam.

Hakikat bahawa Malaysia gemilang sebagai tuan rumah kepada puluhan ribu ahli dan peminat sukan yang menyertai Sukan Komanwel keenam belas bukan berita besar kerana tidak ada peristiwa buruk berlaku di sana.

Selain media massa asing, kita mengucapkan terima kasih kepada Anwar dan pengikutnya kerana menggambarkan Malaysia sebagai negara kucar-kacir, huru-hara dan paling tidak selamat di dunia, hatta kepada Ratu Elizabeth yang dikawal rapi itu.

Bukan itu saja, kalau anda membaca The New York Times, anda juga sudah diberitahu bahawa 'Dr Tun Dr. Mahathir has lost the people's support' (Dr Tun Dr. Mahathir sudah hilang sokongan rakyat) dan 'The time has come for him to step down' (Masa sudah tiba bagi beliau meletakkan jawatan).

Dan apakah dosa paling besar Anwar seperti dilaporkan oleh The New York Times?

Menurut laporan akhbar itu pada 22 September, Anwar memberitahu pengikut dan pendengarnya begini: "My greatest sin was to challenge Dr Tun Dr. Mahathir. He's old. He's senile." (Dosa saya yang paling besar ialah mencabar Dr Tun Dr. Mahathir. Dia tua. Dia nyanyuk).

Walaupun anda mungkin bukan seorang Islam, anda tentu tahu bahawa mencabar Dr Tun Dr. Mahathir atau mana-mana pemimpin politik bukanlah satu dosa lebih-lebih pula satu dosa besar. Kalau mencabar saingan politik satu dosa, maka Anwar adalah antara ahli politik Malaysia yang paling banyak dosa.

Dia sering naik dengan mencabar orang lain, bermula dengan Datuk Suhaimi Kamaruddin untuk jawatan Ketua Pemuda pada 1982 dan paling akhir Tun Ghafar Baba untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO pada 1993.

Kalau anda bukan Islam dan hendak tahu apakah dosa besar dalam Islam, jawapannya ialah zina, makan harta anak yatim, makan riba, bercakap bohong, main judi, mencuri, membunuh dan sebagainya. Mencabar Dr Tun Dr. Mahathir tidak termasuk dalam dosa besar.

The New York Times kata Anwar belum dimasukkan ke penjara kerana kes seks. Salah. Macam mana Anwar dimasukkan ke penjara atas tuduhan seks sedangkan beliau belum lagi dihadapkan ke mahkamah?

Anwar ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mengepalai perhimpunan dan perarakan haram yang mengancam keselamatan negara. Dan nama Ketua Polis Malaysia pula bukanlah Abdul Raheem Noor seperti yang dilaporkan oleh The New York Times, tetapi Abdul Rahim.

Oh ya, kalau anda berpendapat kami rakyat Malaysia memanggil pemimpin kami dengan pelbagai nama kurang sopan seperti 'chief Tarzan' (ketua Tarzan), anda silap.

Perbuatan begini jarang sekali berlaku. Hanya Anwar, seperti laporan The New York Times, memanggil Dr Tun Dr. Mahathir 'ketua Tarzan', Malaysia dan sahabat Dr Tun Dr. Mahathir 'apes and elephants' (monyet dan gajah).

Dan jika anda terpengaruh dengan ulasan The New York Times bahawa Anwar terkenal sebagai seorang alim dan menjalani hidup yang bersih, banyak rakyat Malaysia pun beranggapan demikian sehinggalah tuduhan salah laku seks terhadap beliau muncul pada Ogos 1997.

Rakyat Malaysia yang beragama Islam memang menghormati orang yang mengimamkan sembahyang, baca khutbah Jumaat dan beri selawat yang panjang dalam bahasa Arab.

Kes Presiden Clinton pun begitu juga. Apabila berita mengenai skandal seks beliau mula sampai ke Malaysia, banyak orang berasa susah hendak percaya. Masakan seorang presiden yang kerap bercakap mengenai nilai kekeluargaan, moral dan setiap Ahad pergi ke gereja boleh mengadakan hubungan seks yang sangat luar biasa dengan pelatih tanpa gaji di dalam pejabatnya sendiri.

Secara kebetulan, pejabat Presiden Amerika iaitu 'White House' (Rumah Putih) adalah juga tempat kediaman rasmi beliau dan keluarganya. Dalam erti kata yang lain, Clinton menjalin hubungan seks dengan Lewinsky di dalam rumahnya sendiri.

Tetapi apabila ditekan dan disoal oleh Peguam Bebas Kenneth Starr, Clinton akhirnya mengaku dia mengadakan hubungan seks dengan Lewinsky dan meminta maaf kepada rakyat kerana berbohong. Apatah lagi dia berbohong dalam sumpah.

Sekarang Clinton menghadapi kemungkinan dipecat dan soal-jawabnya dengan Suruhanjaya Penyiasatan Bebas Starr sudah jadi 'bahan lucah' Internet dan tajuk senda gurau pertunjukan lewat malam stesen televisyen.

Dan apakah tujuan The Guardian dalam laporannya semalam berulang kali menyebut nama Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor, sebagai 'General Rahim'? Tujuannya ialah menggambarkan Malaysia sebagai negara tentera (military state).

Kecenderungan The New York Times, The Times of London, The Independent, The Guardian dan CNBC melihat isu Anwar sebagai isu politik dan bukan akhlak tidak menghairankan.

Sejak menyertai UMNO pada 1982 dan mara dengan pantas dalam kerajaan dan parti, Anwar telah mengubah perwatakannya daripada seorang pemimpin belia Islam yang radikal kepada seorang pemimpin negara yang liberal.

Beliau sangat pandai mengubah dan menyesuaikan sikap dan pandangannya dengan keadaan dan khalayak. Beliau memberikan apa yang dikehendaki dan disukai khalayak.

Sejak menjadi Menteri Kewangan dan kemudian Timbalan Perdana Menteri, tumpuan 'public relations' beliau ialah media massa asing sehingga ada wartawan tempatan yang berasa mereka dianak-tirikan.

Beliau melantik beberapa petugas khas dari kalangan wartawan tempatan dan cendekiawan asing untuk membentuk dan menggilapkan imej beliau di kalangan wartawan dan pengarang media Barat, khasnya di Amerika Syarikat.

Pada mulanya mereka memperkenalkan beliau kepada media massa asing sebagai orang yang bakal mewarisi jawatan Perdana Menteri daripada Dr Tun Dr. Mahathir, tetapi sejak krisis ekonomi melanda setahun lalu, mereka secara terbuka menonjolkan beliau sebagai alternatif kepada Dr Tun Dr. Mahathir.

Jadi tidak hairanlah apabila Anwar dipecat daripada Kabinet, media massa asing secara spontan menerima dakwaan bahawa beliau adalah mangsa pakatan jahat, dan menyerang Dr Tun Dr. Mahathir habis-habisan.

Kecuali beberapa orang wartawan dan penerbitan asing yang berkecuali, majoriti yang lain mengambil kesempatan daripada krisis peribadi Anwar untuk membelasah Dr Tun Dr. Mahathir dan Kerajaan Malaysia.

Bagi mereka pucuk dicita ulam mendatang. Mereka sememangnya kurang senang dengan Dr Tun Dr. Mahathir kerana beliau bukan saja tidak berusaha mendampingi dan memujuk media massa asing, sebaliknya kerap mengkritik mereka secara terbuka dan tajam.

Manakala kita mungkin tidak boleh menghalang media massa asing membuat laporan negatif mengenai negara kita dan menghina pemimpin kita, yang menyedihkan ialah adanya rakyat kita sendiri yang bersekongkol dengan mereka.

Kita perlu mengenali siapa mereka, siapa majikan mereka dan apa pula taktik yang mereka gunakan sehingga begitu banyak wartawan dan pengarang asing makan di tangan mereka dan mencela negara kita.

Buat sementara waktu ini, jelaslah imej negara kita agak buruk kerana pandangan dunia telah dipesongkan oleh media massa asing yang berat sebelah dalam laporan mereka.

Mereka tidak ketandusan modal untuk mencaci-cerca negara kita kerana ada rakyat negara ini yang sedia menjadi tali barut mereka.

Dan kita hairan mengapa media massa Barat dan sesetengah Kerajaan mereka begitu hebat mempertahankan Anwar. Apakah ada sesuatu mengenai beliau yang mereka tahu dan boleh pegang sebagai 'kunci' maka mereka begitu berat melepaskannya?



Source: Berita Harian, 26 September 1998.

No comments:

Followers