Tiada apa yang boleh anda cari di sini, kecuali segala kisah yang berkaitan dengan Sahibus Samaah As Sheikh Datuk Seri Sivaji Anu War Berahi Al Juburi yang aku kutip dari sumber maya yang bersepah-sepah untuk dikumpulkan dalam satu blog untuk tujuan dijadikan bahan bacaan/rujukan kepada anak dan cucu ku kelak.

Blog Archive

Saturday, August 15, 2009

MAKA BERKATA LAGI ANAK TOYO KEPADA ANAK IBRAHIM SETAHUN YANG LALU

Anwar Ibrahim, Lain Bengkak Lain Bernanah?

Dalam tulisan saya sebelum ini (lihat Anwar Ibrahim dan Mimpinya), saya menyentuh mengenai tingkah laku Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dalam mencatur dan memporak-perandakan senario politik negara.

Seperti yang dijangka beliau menjadikan YAB. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai sasarannnya.

Cuma kali ini, serangan Anwar terhadap DS Najib sudah menjadi strategi serampang dua mata. Jika sebelum ini beliau hanya bertujuan untuk menjatuhkan kredebiliti semua pemimpin UMNO, kali ini ia juga bertujuan mengalih perhatian umum dari isu skandal seks beliau.

Anwar sentiasa mencari jalan untuk mengalih isu-isu terhadap dirinya kepada orang lain. Apabila muncul isu tuduhan liwat dan salah guna kuasa terhadap beliau pada 1998, Anwar membuat tuduhan-tuduhan rasuah, kronisme dan "kaki perempuan" kepada pemimpin politik lain dalam UMNO.

Bagi Anwar, jika beliau buruk pun biarlah ia menjadi yang terbaik di kalangan yang terburuk.

Kali ini ketika Anwar sibuk memukul gendang lompat parti dan harga minyak, tiba-tiba sahaja orang lain pula memukul gendang ke atas beliau. Pembantu peribadi beliau membuat laporan Polis bahawa beliau diliwat beberapa kali oleh Anwar.

Ini merupakan satu laporan yang serius dan berat tuduhannya.

Yang aneh dan melucukan, mengapa Anwar perlu lari ke kedutaan Turki bagi menyembunyikan diri?

Bukankah ini gimik politik kononnya diri beliau tidak lagi selamat di Malaysia? Jika benar beliau percaya dirinya tidak selamat, mengapa sekarang beliau tidak takut pula? Apakah jaminan Datuk Seri Abdullah sahaja menjadikan beliau terus selamat?

Jika benar ada orang telah diupah untuk membunuh Anwar tentulah beliau tidak akan selamat hanya dengan satu jaminan Perdana Menteri sahaja.

Bagi saya, Anwar bersembunyi di Kedutaan Turki hanya bagi mengelak sebarang pertanyaan umum dan cuba merangka strategi baru bagi menghadapi tuduhan liwat kali ini.

Apabila beliau keluar dari persembunyian, maka serangan bertali arus dilakukan ke atas mangsa dan beberapa pihak lain bagi menenggelamkan isu sebenarnya.

Bagi mereka yang begitu taksub kepada DSAI, tentulah tuduhan dan dakwaan kali kedua ini juga tidak diterima. Sikap sedemikianlah yang merosakkan pemimpin dan masyarakat. Setia membuta tuli sehinggakan pemimpin terus melakukan kesilapan yang sama berkali-kali kerana percaya beliau akan terus lepas dari perbuatannya.

Saya cuma berharap penyokong-penyokong Pakatan Rakyat yang memperjuangkan ketelusan dan konsep ketuanan rakyat agar tidak menghina dan mencerca mangsa yang membuat laporan.

Bagaimanakah mahu memperjuangkan ketuanan rakyat jika mangsa tidak boleh mendapat pembelaan hanya kerana ia membabitkan pemimpin besar mereka? Apakah beliau sebagai mangsa (jika benar berlaku kejadian ini) tidak berhak mendapat pembelaan? Jangan nanti rakyat melihat Pakatan Rakyat telah berubah arus perjuangan dari ketuanan rakyat kepada Ketuanan Anwar Ibrahim.

Jika kali pertama dulu mungkin ada yang ragu-ragu sungguhpun fakta dan hujah sudah di depan mata. Namun kali ini lebih sukar untuk Anwar menepiskannya. Tuduhan kali ini datang daripada pembantu peribadi beliau sendiri.

Jika dulu dikatakan agenda politik untuk menjatuhkan beliau, kali ini agenda apa pula?

Anwar bukanlah seseorang yang memegang jawatan besar untuk dijatuhkan buat kali kedua. Malahan lebih mudah mematikan pengaruh politik Anwar melalui perubahan dasar kerajaan berbanding mewujudkan konspirasi seperti ini.

Bagi mengurangkan tumpuan kepada isu skandal seks dan jenayah beliau ini, Anwar telah "menyerang" Datuk Seri Najib dengan membuat sidang akhbar mengenai kenyataan bersumpah penyiasat persendirian yang mengaitkan Najib dengan mangsa pembunuhan bernama Altantuya.

Penyiasat tersebut akhirnya menarik balik akuan bersumpah itu; beliau mendakwa akuan bersumpah tersebut dibuat dalam keadaan terpaksa dan ditekan. Malangnya kerosakan telah berlaku.

Saya telah melihat akuan bersumpah tersebut, kesemuanya lebih merupakan dengar cakap atau hearsay penyiasat tersebut.

Ini jauh berbeza dengan dakwaan Saiful yang beliau sendiri menjadi mangsa dalam kes liwat.

Akuan bersumpah bersandarkan gosip, dengar cakap orang lain dan fakta-fakta pihak ketiga dianggap benar oleh penyokong Anwar. Malangnya mereka menolak sekeras-kerasnya aduan mangsa liwat Anwar.

Bukankah ini bersikap setia membuta tuli, taksub tidak bertempat?

Saya tidak pasti apakah berlaku kejadian liwat seperti yang didakwa oleh Saiful. Namun saya fikir pengadu berhak mendapat keadilan dan perlindungan sebagai seorang mangsa yang tidak berdaya.

Adalah tidak wajar jika dalam kebanyakan kes, kita mahu polis menyiasat sedalam-dalamnya sebarang kes jenayah seperti rogol dan liwat demi membela mangsa, tetapi kali ini kita memilih untuk berada di sebelah pemangsa terlebih dahulu.

Jika sepuluh hakim kes Anwar terdahulu percaya Anwar terbabit dalam aktiviti tidak bermoral ini, maka sukar saya untuk menolak mentah-mentah dakwaan Saiful.

Bagi mengalih tumpuan juga Anwar telah membuat laporan ke atas Ketua Polis Negara dan Peguam Negara. Beliau mendakwa kedua-dua mereka ini telah memalsukan laporan awal mengenai kejadian mata lebamnya sepuluh tahun lalu.

Apakah tujuan Anwar membuat laporan ini?

Anwar boleh membuat laporan tersebut bila-bila masa sahaja sejak 1999 sehingga awal 2008. Sama ada ketika beliau di dalam penjara mahu pun ketika telah keluar penjara. Sama ada ketika negara ditadbir oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu pun ketika Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sebaliknya Anwar hanya membuat laporan ke atas kedua-dua tokoh ini sebaik sahaja ada dakwaan liwat ke atas beliau.

Melihat senario ini, saya melihat bahawa laporan Saiful ini mungkin benar. Tindakan-tindakan Anwar membuat laporan ke atas peristiwa sepuluh tahun lalu meletakan kedudukan beliau seperti orang yang sedang lemas. Apa sahaja boleh dicapai akan dicapainya bagi membantu diri keluar dari arus yang deras.

Bagi saya, Anwar perlu mempertahankan dirinya melalui proses undang-undang. Dan sebagai ahli politik, beliau juga berhak mempertahankan dirinya kepada umum atau public opinion.

Namun mempertahankan diri dalam kes ini bukan dengan menyerang pemimpin parti politik lawan, membawa fakta-fakta palsu dalam kes mahkamah lain dan menganggu siasatan polis terhadap dakwaan ke atasnya.

Beliau perlu membuktikan kepada umum bahawa beliau tidak melakukan perbuatan terkutuk tersebut. Pembersihan imej dan nama baik beliau perlu dilakukan berasaskan diri beliau dan Saiful, bukannya menimbulkan isu-isu lain.

Bersumpah bukanlah jalan penyelesaian mutlak. Ini kerana orang yang melanggar larangan-larangan Allah tentulah tidak takut untuk bersumpah apa sahaja.

Semakin banyak Anwar bersikap "lain yang bengkak, lain bernanah", maka makin jelas Anwar berada dalam keadaan terdesak dan tersepit. Mampukah beliau melepaskan jerat ciptaannya sendiri kali ini?

Bagi para penyokong Anwar, mereka perlu melihat jalan-jalan alternatif lain selepas ini. Setia kita biar bertempat, jangan setia membuta tuli.

No comments:

Followers