Tiada apa yang boleh anda cari di sini, kecuali segala kisah yang berkaitan dengan Sahibus Samaah As Sheikh Datuk Seri Sivaji Anu War Berahi Al Juburi yang aku kutip dari sumber maya yang bersepah-sepah untuk dikumpulkan dalam satu blog untuk tujuan dijadikan bahan bacaan/rujukan kepada anak dan cucu ku kelak.

Blog Archive

Sunday, August 30, 2009

MENJELANG SEPTEMBER...11 TAHUN DAHULU

Oleh A Kadir Jasin

Sudah dua minggu Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ayam didik dan orang kanan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad selama 16 tahun, disingkirkan daripada Kerajaan dan Umno.

Sudah dua minggu juga orang muda politik Malaysia, 'the Renaissance Man' (orang pembaharuan), 'the voice of moderation' (suara kesederhanaan), rakan akrab Michel Camdessus dan penyokong kuat dasar faedah tinggi Tabung Wang Antarabangsa (IMF) berkempen memperjuangkan 'reformasi'.

Sumpah-sumpah (chameleon) politik yang mutakhir ini sudah menukar warnanya daripada warna 'establishment', daripada Georgio Armani dan The Phantom of the Opera kepada warna rakyat dengan mengisytiharkan dirinya pemimpin mereka.

Soalnya, kalau baru sekarang beliau 'pemimpin rakyat', jadi siapakah sebenarnya beliau pimpin selama 16 tahun dalam Umno dan Kerajaan? Bukankah dia juga pemimpin rakyat seperti pemimpin lain?

Kalau baru sekarang dia pemimpin rakyat, siapakah yang dipimpinnya ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan?

Apakah yang dipimpinnya selama ini hanyalah pencinta Bach (Johann Sebastian) dan Mozart (Johann Chrysostom Wolfgang Amadeus), ahli korporat muda yang mentah tetapi berselera besar, pengarang akhbar yang makan di tangan dan cendiakawan pura-pura yang tidak putus-putus memetik Huntington dan Schumpeter?

Kita tidak ada masalah kalau mereka memetik Schumpeter dan sekali gus memahami teori ekonomi beliau.

Boleh jadi juga kalau Anwar dan penasihatnya memberi perhatian lebih mendalam kepada Schumpeter daripada sekadar untuk menunjuk pandai kepada khalayak yang menghadiri ceramah 'The Council on Foreign Relations' di New York, beliau tidak akan terlalu taksub dengan pasaran bebas dan kapitalisme Barat.

Atau beliau tidak akan ikut telunjuk IMF semata-mata kerana Camdessus, Pengarah Urusannya, kerap menelefonnya dari Washington atau kerana dipuji oleh Robert Rubin, Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat.

Bukankah Joseph A Schumpeter (1883-1950) yang berhujah bahawa kapitalisme akhirnya akan mati disebabkan 'kejayaannya' sendiri dan digantikan oleh sistem yang lebih terkawal?

Kita sedang melihat bagaimana kapitalisme dan dasar pasaran bebas membawa kemusnahan kepada semakin banyak negara dan kini berada dipintu gerbang syurga kapitalisme sendiri iaitu Amerika Syarikat.

Sekarang, Amerika yang begitu gah dengan kuasa politik dan ekonomi dunia sudah mula takut apabila kesan penguncupan ekonomi Asia mula mengancam pasaran sahamnya.

Presiden Clinton yang sampai beberapa minggu dulu masih yakin bahawa dasar kadar faedah tinggi IMF adalah ubat terbaik bagi negara-negara Asia yang dilanda krisis ekonomi kini berkata, dia lebih mirip kepada kadar faedah yang lebih rendah.

Ini tidak menghairankan langsung. Kalau Clinton boleh berbohong kepada isterinya dan rakyat jelata Amerika mengenai perhubungan seksnya dengan pelatih Rumah Putih, Monica Lewinsky, apakah yang akan menghalang beliau daripada berdolak-dalik mengenai pengurusan ekonomi antarabangsa.

Kita sudah dapat melihat bagaimana dalam masa beberapa minggu ratusan juta manusia menjadi miskin dan menderita kerana dasar pasaran bebas mendedahkan ekonomi mereka kepada serangan 'kapitalis baru' ke atas mata wang dan pasaran saham mereka.

Kalau hari ini Anwar begitu lantang bercakap mengenai pembelaan terhadap rakyat miskin, kita ingin bertanya siapakah yang bertanggungjawab memiskinkan negara dan rakyat sejak mata wang dan pasaran saham kita diserang setahun lalu?

Anwar menuduh bekas ketua dan rakannya dalam Kabinet sambil mendabik dada mengatakan dialah pembela nasib rakyat miskin.

Hakikatnya, dasar faedah tinggi dan kawalan pinjaman yang diajarkan oleh IMF kepada Anwarlah yang memburukkan keadaan ekonomi sehingga membawa kepada penguncupannya.

Ini tidak menghalang Anwar mencemuh bekas ketua dan rakan-rakannya dalam Kabinet - orang yang dulu memberi laluan kepadanya - kerana, seperti pemidato lain, Anwar percaya kepada suaranya sendiri.

Dalam dua minggu ini juga umum sudah dengar dan baca mengenai reformasi. Umum sudah dengar dan baca mengenai polis yang kononnya berkelakuan macam Mossad, agensi perisik Israel yang kejam itu. Umum sudah dengar pemidato berapi-api membela Datuk S. Nallakaruppan dan mencaci-cerca mahkamah.

Siapa sebenarnya memerlukan pembelaan dan siapa sebenarnya yang dibela - rakyat jelata yang dikatakan tertindas, Nalla yang sedang menghadapi tuduhan mahkamah atau yang empunya diri?

Anwar mendakwa dialah juara pembinaan rumah murah, juara rakyat miskin, juara petani. Tetapi apakah Dr Mahathir, Tun Ghafar Baba dan pemimpin sebelum mereka tidak pedulikan rakyat miskin?

Siapa yang mengasaskan Dasar Ekonomi Baru dan siapa pula yang memberikannya semangat?

Biar Anwar lupa tetapi umum tidak harus lupa sumbangan besar Almarhum Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Hussein Onn.

Tun Razak, Bapa Pembangunan Negara, mengasaskan DEB dan Dr mahathir memberikannya jiwa reformasi seperti terkandung dalam bukunya Dilema Melayu - buku yang dikarangnya sendiri pada 1969.

Siapakah yang memperjuangkan pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat yang membolehkan orang Melayu masuk universiti dengan mudah, dapat kerja dengan mudah dan panjat tangga politik dengan mudah?

Dan siapa pula dengan lantang memberitahuIMF dan media massa asing biarkan orang korporat, tidak kira Melayu, Cina atau India, muflis kerana mereka tidak pandai berniaga, boros dan rasuah?

Siapakah pada November dan Disember lalu menyekat pengaliran pinjaman dan menaikan kadar faedah sehingga syarikat yang kuat menjadi lemah dan yang lemah tersungkur mencium bumi?

Siapakah yang melaksanakandasar bolos sehingga ekonomi negara tergelincir, rakyat hilang kerja, peniaga tutup kedai dan remaja tidak dapat masuk universiti?

Kita dari awal lagi memberi amaran kepada pengikutIMF ini bahawa memang mudah bercakap mengatakan biar ahli perniagaan muflis. Tapi siapa hendak beri kerja kepada pekerja yang tersingkir kerana taukenya muflis? Siapa akan beri makan anak dan isteri mereka?

Orang yang bercakap mengenai muflis itu pun nampaknya tidak faham kesan dasar seperti itu. Tidak terbayangkah di fikirannya bahawa syarikat mungkin muflis, kilang ditutup dan pekerja dibuang tetapi tuan punya syarikat belum tentu muflis?

Mustahil Anwar tidak mempunyai kroni (konco menurut kamus Dewan) korporat, tidak kira Melayu, Cina dan India, yang akan muflis kalau dasar itu dilaksanakan.

Yang sukar muflis ialah syarikat judi, minuman keras dan rokok kerana semakin susah manusia, semakin mudah pula mereka menenggelamkan diri dalam tabiat yang mengkhayalkan.

Syarikat mungkin muflis, tetapi banyak pemilik syarikat sudah mengumpul kekayaan peribadi yang besar bagi membolehkan mereka hidup senang lenang di dalam dan luar negara.

Jadi apakah yang kita belum dengar? Apa yang baru? Yang pokok?

Yang belum kita dengar, atau kalau sudah dengar tetapi belum menyakinkan, ialah Anwar membersihkan dirinya daripada kecurigaan dan keraguan yang tercetus akibat dakwaan dia terbabit dalam kelakuan sumbang.

Atau apakah sebagai moralis Timur yang ulung, yang berdiri atas mimbar dan hebat berpidato mengenai ketelusan akan menyerahkan pembersihan diri semata-mata kepada peguamnya? Atau apakah kita terlalu tergesa-gesa mahukan jawapan sedangkan Anwar sendiri sedang menunggu peluang terbaik berbuat demikian apabila dihadapkan ke mahkamah?

Atau apakah dia sudah berasa tidak ada harapan lagi mempertahankan diri maka dia menuduh semua orang dan pihak berpakat mengkhianatinya?

Tiba-tiba semuanya mungkar kepada Anwar. Semuanya tidak betul dan semuanya hambar. Kenapa?

Source: Berita Harian, 19 September 1998.

No comments:

Followers